Pelantikan Azalina julang martabat wanita Malaysia – Zuraida

72

14 JULAI: Pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah satu penghargaan dan mengangkat martabat golongan wanita ke tahap tertinggi di dalam masyarakat di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pelantikan yang penuh bersejarah itu merupakan satu langkah positif khususnya memperkasakan peranan wanita di peringkat tertinggi.

Menurut beliau, pelantikan tersebut tepat pada masanya memandangkan Azalina mempunyai latar belakang profesional sebagai seorang peguam.

“Azalina juga pernah mengendalikan urusan hal Ehwal Parlimen sewaktu berkhidmat sebagai Pengerusi Kaukus Wanita Parlimen Malaysia.

“Kredibiliti Azalina turut dapat dibuktikan apabila beliau sebelum ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekali gus menjadikannya pilihan terbaik buat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mereformasikan tadbir urus yang lebih tulus,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Zuraida mengetuai 12 Ahli Parlimen wanita dari PN yang menyatakan sokongan padu terhadap pelantikan Azalina sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mulai semalam.

Selain beliau, mereka yang turut menyatakan sokongan ialah Ahli Parlimen Tenggara, Halimah Mohamed Sadique; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun; Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Zailah Mohd Yusoff; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid; Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Tun Abdul Taib; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Bebas Ampang memberitahu, selaku pemimpin wanita pertama dilantik ke jawatan itu, ia bakal merubah landskap politik Malaysia yang selama ini jawatan tertinggi pucuk kepimpinan negara hanya diisi oleh lelaki.

“Dengan adanya Azalina sebagai Timbalan Speaker baharu, ia bukan sahaja akan mengangkat martabat wanita di dalam negara bahkan menjadi contoh yang terbaik serta inspirasi buat wanita seluruh wanita di Malaysia.

“Semoga beliau dipermudahkan urusannya dan diberi ketenangan dan kelapangan hati dalam membuat keputusan demi kebaikan seluruh rakyat di Malaysia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.