Pakai pelitup muka, jangan leka dengan SOP – KP Kesihatan

84

14 JULAI: Rakyat negara ini sangat-sangat digalakkan memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di tempat awam walaupun jangkitan dalam negara kembali sifar dengan empat kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini kesemuanya melibatkan kes import.

Saranan itu ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang mahu pemakaian penutup mulut dan hidung menjadi amalan ketika di khalayak dan mereka yang bergejala.

Namun katanya, kerajaan belum bercadang menjadikan pemakaiannya sebagai mandatori iaitu mengenakan denda atau hukuman tertentu bagi mereka yang enggan.

Selain itu, kata Noor Hisham, turut menjadi kebimbangannya ketika ini jika rakyat leka dan kembali kepada kehidupan normal tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan .

“Sedangkan ‘bara’ virus masih ada dan boleh marak kembali jika kita tidak ambil langkah pencegahan dengan pathui SOP dan menjaga kebersihan diri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, daripada empat kes jangkitan luar negara itu, dua pesakit melibatkan kepulangan dari Singapura dan masing-masing seorang dari Rusia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, kes sembuh hari ini pula sebanyak empat orang dan menjadikan kes kebolehjangkitan COVID-19 yang masih aktif adalah seramai 83 orang.

“Hari ini juga tiada kes kematian dilaporkan. Jumlah yang berada di ICU pula seramai enam orang,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan kajian mendapati bekas pesakit COVID-19 masih berkemungkinan dijangkiti semula virus kerana respons antibodi yang rendah.

Jelasnya, kajian pihaknya mendapati antibodi yang terbina dalam kalangan bekas pesakit COVID-19 kluster Sungai Lui adalah pada tahap 20 peratus.

“Sepatutnya antibodi mereka yang pernah dijangkiti meningkat 60 peratus, 80 peratus. Barulah kita boleh cerita mengenai herd immunity tetapi antibodi responden makin berkurangan,” katanya.

Malah katanya, di United Kingdom juga terdadat kajian mendapati respons antibodi pada tahap 17 peratus.

“Kita tertanya juga bererti mereka yang telah dijangkiti boleh dijangkiti semula. Kedua apakah vaksin dapat merangsang antibodi respons?.

“Inilah kita dalam kajian fasa ketiga terhadap kemampuan vaksin untuk rangsang antibodi berkekalan bukan sementara. Setiap hari kita belajar mengenai COVID-19,” ujarnya. -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.