MKB ditubuh, perkasakan ekonomi Bumiputera

75

14 JULAI: Kerajaan akan menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang bakal menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, majlis itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, perkara itu seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bil 15/2020 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, hari ini.

“Pewujudan MKB ini adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

“Ia adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mendukung tiga objektif utama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah,” katanya.

Mustapa berkata, mesyuarat pada hari ini juga bersetuju untuk memperkukuhkan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dalam dua aspek utama.

Katanya, yang pertama TERAJU menjadi badan koordinasi di peringkat tertinggi dengan mewujudkan jalinan dan rangkaian bersepadu serta komprehensif bersama kesemua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi bumiputera.

Selain itu ujar beliau, peranan TERAJU akan diperkukuhkan bagi memperkemas dan menambah baik pangkalan data berpusat bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik.

TERAJU yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah unit strategik yang berperanan untuk meneraju, memacu dan menyelaras agenda pembangunan Bumiputera sejajar dengan WKB 2030.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.