Mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Dasar Sekuriti Makanan Negara

87

14 JULAI: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara buat julung-julung kalinya hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat itu membincangkan aspek tadbir urus jawatankuasa ini agar selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pelaksanaan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dan mampan dapat dicapai.

Kata kenyataan itu, Jawatankuasa Eksekutif ini dipengerusikan Menteri dengan keahlian 17 Ahli tetap yang terdiri daripada Ketua-ketua setiausaha kementerian serta Ketua-ketua jabatan dan agensi.

Turut terlibat bersama dalam jawatankuasa yang ditubuhkan 29 April lalu itu adalah ahli-ahli akademik, pemain-pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Jawatankuasa bertanggungjawab sebagai jawatankuasa penyelaras dalam mencadangkan strategi dan pelan tindakan berkaitan sekuriti makanan negara untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelak.

“Selain itu, jawatankuasa ini bertanggungjawab mengenal pasti intervensi kerajaan bagi mencapai objektif yang disasarkan seperti penggunaan teknologi terkini, pembiayaan kredit dan aktiviti pertanian yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi menjadikan sektor pertanian antara penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara,” kata kenyataan itu.

Menurut MAFI, Jawatankuasa Eksekutif ini dibantu empat cadangan Kluster berdasarkan dimensi-dimensi yang digariskan dalam kerangka sekuriti makanan negara iaitu ketersediaan, kemampuan, keselamatan serta kestabilan dan kemampanan bakal melibatkan mobilisasi Jawatankuasa Kabinet atau Majlis sedia ada di bawah Kementerian dan Agensi.

“Idea-idea dan saranan-saranan yang diketengahkan oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif ini akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang akan bersidang pada 12 Ogos 2020 di Parlimen.

“Diharapkan bahawa platform ini akan dapat menyumbang dalam mengukuhkan Sekuriti Makanan Negara dan seterusnya meningkatkan kemakmuran bersama,” kata kenyataan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.