Malaysia bakal bangunkan vaksin manusia – Khairy

49

14 JULAI: Malaysia akan membangunkan vaksin manusia agar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada beberapa negara pengeluar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pada masa ini, Malaysia hanya mengeluarkan vaksin haiwan dan perlu mendapatkan vaksin manusia.

Menurut beliau, keputusan ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi tanggungjawab untuk menyediakan pelan pembangunan untuk pembangunan dan kemandirian vaksin negara dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Vaksin yang akan dibangunkan itu kelak bukan hanya memberikan tumpuan kepada COVID-19 dan Malaysia perlu membangunkan keselamatan dan kemandirian bagi memastikan persediaan sekiranya berlaku pandemik dan jangkitan baharu.

“Selain itu, kerajaan mencadangkan agar proses pembangunan pembotolan (fill and finish) dilakukan di dalam negara kerana ia lebih memudahkan vaksin diedarkan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Khairy memberitahu, kerajaan masih meneliti beberapa vaksin yang sedang dibangunkan negara pembangun seperti China, Amerika Syarikat dan United Kingdom

Walau bagaimanapun, beliau menambah vaksin yang akan dipilih kelak akan dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan selepas mengkaji kesesuaiannya untuk digunakan oleh rakyat negara ini.

“Kerajaan juga sudah bersetuju untuk melantik dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membolehkan proses pembotolan vaksin dilakukan di negara ini kerana ia mudah di samping dapat menjimatkan kos.

“Vaksin itu kelak akan dibeli akan jumlah yang besar secara cecair sebelum dibotolkan di Pharmaniaga dan Duo pharma Biotech Berhad yang mempunyai fasiliti lengkap untuk proses berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Khairy memberitahu pihaknya juga akan mengubal Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 bagi mewujudkan dan memperkukuhkan inovasi dan aplikasi sains dan teknologi bagi memacu negara.

“Ini juga dilakukan bagi menginstitusikan landskap STI negara dalam jangka masa panjang dan menyediakan tadbir urus yang jelas supaya menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara.

“Cadangan ini akan diterima pakai dalam usaha untuk mentransformasikan sektor sosioekonomi oleh semua Kementerian termasuk pelaburan dalam STIE di bawah Rancangan Malaysia ke-12,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.