KPN nafi kenyataan bercanggah keputusan mahkamah koroner

299

14 JULAI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan dakwaan pihaknya tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau menegaskan bahawa tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang pada sidang media, 10 Julai lalu.

Abdul Hamid berkata, segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan serta dapatan terkini dan bukan untuk menyanggah hasil keputusan inkues.

“Sehingga kini, kes Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup, masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab dakwaan para peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib bahawa Polis Diraja Malaysia tidak menghormati serta bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Abdul Hamid menambah, sehingga kini, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan telah melihat Allahyarham Muhammad Adib dipukul dan kesemua keterangan yang diperoleh adalah bersifat khabar angin serta pendapat.

Menurut beliau, usaha masih dijalankan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah ini jika ada manakala beberapa isu perlu disiasat dengan lebih lanjut ekoran keputusan inkues.

“Sekiranya benar berlaku serangan seperti yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan pakar, pasti wujud kesan-kesan serangan dan pasukan siasatan masih memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar,” jelasnya.

Abdul Hamid memberitahu, pasukan siasatan juga sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas saksi kerana didapati tidak konsisten dalam tiga peringkat rakaman percakapan sebelum ini.

“Begitu juga saksi-saksi lain yang telah memberikan keterangan dalam inkues kerana ada antara mereka yang mendedahkan maklumat atau keterangan baharu yang perlu disiasat terlebih dahulu.

“Isu ‘dying declaration’ perlu disiasat lanjut oleh pasukan siasatan kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar atau dinilai kredibiliti serta kesahihannya,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan, PDRM boleh terus menjalankan sisatan melalui pelbagai sudut dan pendekatan bagi menyiasat segala kemungkinan dan menyelesaikan kes berkenaan.

Abdul Hamid berkata, tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat bukti dan keterangan baharu seperti yang telah dilakukan sebelum kerajaan memutuskan untuk inkues dijalankan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.