KDN tambah baik SOP mohon kewarganegaraan – Hamzah

147

14 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) selesai menambah baik Prosedur Pengendalian Standard (SOP) Permohonan Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dengan tempoh pemprosesan yang lebih singkat bagi permohonan lengkap yang diterima mulai tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penambahbaikan SOP berkenaan adalah berdasarkan kepada pematuhan syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 serta turut mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.

Beliau berkata, kelahiran yang berlaku di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

HAMZAH ZAINUDIN

“Kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung
sewaktu kelahiran berlaku selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 serta
perundangan berkaitan yang berkuatkuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan
imigresen.

“Ibu bapa dan penjaga kepada individu yang bertaraf ‘Belum Ditentukan’ atau ‘Bukan Warganegara’ bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan kewarganegaraan, dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal bagi mengelakkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, keberadaan tidak sah di Malaysia dan seterusnya disalah anggap sebagai tidak memiliki kewarganegaraan dari mana-mana negara (stateless),” katanya semasa sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen yang meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan tentang pelan kerajaan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses mendapatkan status kewarganegaraan untuk
anak-anak tanpa kad pengenalan termasuk memperbaharui SOP yang ada untuk menangani isu ini secara cepat dan holistik. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.