Jumlah jemaah ikut kapasiti masjid, bukan lagi satu pertiga

101

13 JULAI: Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan kini dibenarkan untuk memperluaskan kapasiti solat Jumaat dan solat berjemaah mengikut saiz dan ruang solat selagi mana penjarakan sosial dapat dipatuhi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan ini masjid dan surau tidak lagi tertakluk kepada kapasiti satu pertiga sebaliknya bilangan jemaah boleh ditambah asalkan SOP kesihatan dapat dipatuhi.

Katanya, pelbagai aktiviti keagamaan seperti tazkirah dan kelas pengajian al-Quran juga dibenarkan diadakan di masjid serta surau dan pemantauan pihak berkuasa setakat ini mendapati SOP ditetapkan dapat dipatuhi.

“Masjid juga dibenar memasang khemah untuk jemaah tetapi masih perlu dalam pekarangan. Apapun SOP perlu dipatuhi antaranya dengan jemaah disaring suhu badan dan ada penjarakan sosial.

“Kebenaran ini juga terpakai untuk agama lain dengan jumlah kehadiran di rumah ibadat seperti tokong, kuil dan gereja kini berdasarkan keluasan premis selagi mana penjarakan sosial dan SOP lain dapat dipatuhi,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu, katanya, Mesyuarat Khas hari ini juga membenarkan operasi sekolah memandu dimulakan dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 malam.

“Waktu kursus dan latihan pemanduan dibenarkan bermula jam 8.30 pagi hingga 8 malam. Kapasiti pekerja juga
dibenarkan 100 peratus. Bagaimanapun, semua SOP yang telah ditetapkan sebelum ini mestilah dipatuhi,” ujarnya.

Ismail Sabri pada masa sama mengingatkan para pelajar untuk mengamalkan kawalan kendiri apabila sekolah mula dibuka secara berperingkat esok dan ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak bergejala.

Katanya, begitu juga dengan seluruh rakyat supaya tidak mengambil mudah soal SOP bagi mengelakkan COVID-19 kembali menular seperti yang berlaku di Hong Kong.

“Hong Kong telah tutup sekolah dan menarik balik 12 aktiviti ekonomi apabila kes kembali bertambah. Oleh sebab itu tanggungjawab kita secara bersama untuk lindungi keluarga dan masyarakat,” tegasnya. –M. H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.