Anwar setuju tubuh RCI siasat kerugian TH

226

14 JULAI: Pakatan Harapan (PH) bersetuju supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat punca sebenar kerugian yang dialami Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RCI itu seharusnya diberikan kebebasan menyiasat secara telus.

Malah, Ahli Parlimen PKR Port Dickson itu turut mengalu-alukan sekiranya kerajaan mahu mewujudkan RCI tersebut.

“Kita ada pertikaian Menteri Agama akan teliti sekiranya ada pihak mempersoalkan suntikan dana diberikan kerajaan PH sebelum ini maka boleh dibuat siasatan bebas.

“Tindakan ini akan meleraikan keadaan kerana ia perbincangan hangat dan menimbulkan banyak kebimbangan serta bebanan kepada rakyat yang menabung wang untuk digunakan bagi menunaikan ibadah haji,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau secara peribadi berharap agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi pertimbangan sewajarnya dalam siasatan tersebut.

“Paling penting bukan setakat siasatan mestilah telus, tetapi hukuman setimpal dan tegas perlu dijatuhkan kepada mereka yang bertanggungjawab dan menyalahgunakan kuasa,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.