255 ingkar ujian kedua, jangan sampai polis cari

54

13 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan 255 individu yang ingkar untuk menjalani ujian saringan COVID-19 kedua pada hari ke-13 perintah kuarantin wajib di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka terlibat berdepan hukuman denda RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun jika masih ingkar kepada arahan ini.

Sehubungan itu, katanya, mereka digesa untuk tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan untuk ujian saringan.

“Jika masih berdegil, polis akan cari mereka, Insya Allah. Tapi saya harap tidak perlulah sampai ke tahap dihukum mahkamah.

“Jadi secara sukarela, tolong tampil ke PKD berdekatan,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Tegas Ismail Sabri, kerajaan memandang serius kegagalan pematuhan SOP yang ditetapkan dalam kalangan rakyat yang diperintah menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, ada dua SOP penting untuk golongan ini iaitu ujian kedua pada hari ke-13 dan juga SOP untuk berada dalam bilik sahaja sepanjang tempoh ini.

Jelas beliau, ini perlu kerana terdapat satu kes di Sarawak yang mana individu yang terbabit tidak berada dalam bilik sewaktu kuarantin di rumah dan telah menjangkiti bapanya.

“Pelajar ini pulang dari Rusia, negatif sewaktu saringan awal tetapi akhirnya positif bila di rumah masing-masing. Pelajar ini telah merebakkan jangkitan kepada bapanya.

“Sekarang KKM sedang menjalankan ujian kontak rapatnya. Jadi tindakan gagal mematuhi SOP ini bukan membahayakan diri sendiri bahkan keluarga. Apatah lagi kalau beliau keluar rumah,” katanya.

Sebab itu, yang terlibat katanya, kena faham bahawa mereka mesti duduk dalam bilik sahaja sepanjang tempoh kuarantin.

Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP telah membuat keputusan bagi ekspatriat yang telah dibenarkan masuk ke Malaysia untuk bekerja atau menguruskan syarikat, mereka tidak dibenarkan keluar ke Malaysia untuk bercuti.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan ini, mereka tidak akan dibenarkan pulang ke Malaysia sehingga satu tarikh yang ditetapkan.

“Peraturan yang sama bagi eskpatriat dan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.