2 jawatankuasa khas kaji pilihan raya kerajaan tempatan

104

14 JULAI: Kerajaan akan menubuhkan dua jawatankuasa khas sebagai persediaan komprehensif untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian sedang dalam proses menyediakan kertas Kabinet mengenai pilihan raya itu dan dijangka dibentangkan pada pertengahan tahun 2021.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang menjalankan kajian beberapa model pilihan raya kerajaan tempatan di luar negara bagi mencari kaedah yang terbaik bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan lancar.

ZURAIDA KAMARUDDIN

“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) membentuk dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa operasi yang terdiri daripada pegawai dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempertimbangkan isu perundangan atau isu yang memerlukan cari kaedah mekanisme pelaksanaan.

“Jawatankuasa operasi pula dianggotai oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan ketua masyarakat akan melakukan kajian dari aspek rakyat di samping memberi kesedaran dan peranan masyarakat jika pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Wong Hon Tai berhubung perkembangan terkini cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menjawab soalan tambahan Hon Tai mengenai kekangan dari segi undang-undang jika usul pilihan raya kerajaan tempatan di bawa ke Parlimen, Zuraida berkata, kerajaan perlu meminda beberapa undang-undang bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Beliau memberitahu, undang-undang itu termasuk Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (Pindaan 1991) yang perlu diaktifkan semula dan dipinda, pindaan bagi Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, pindaan akta serta peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mewujudkan peraturan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Kita hendak mewujudkan peraturan pilihan raya mengikut cita rasa rakyat di negara ini yang banyak lagi yang perlu kita lakukan kajian. Dianggarkan kos bagi pilihan raya itu sebanyak RM2 juta bagi setiap PBT.

“Dengan adanya kerajaan tempatan mampu buat keputusan ekonomi tanpa kekangan kerajaan negeri di samping ini negara demokrasi dan sudah tiba masanya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mengenai halangan kerana Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta 171 PBT di bawah kuasa kerajaan negeri dan Menteri Besar, Zuraida berkata, tiada masalah kerana matlamat utama kerajaan untuk memperkasakan kerajaan tempatan.

“Penting untuk dilaksanakan kerana ini negara demokrasi sudah tiba masanya rakyat menerima pilihan raya kerajaan tempatan.

“Inilah antara kajian. Sasaran tahun 2021 untuk dibentang dalam Kabinet untuk kelulusan dan selepas dapat kelulusan baru kita laksanakan,” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tentang isu yang sama, Zuraida mendedahkan, tiada sesiapa dalam PH yang menyokong cadangannya berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Malah, beliau menambah, cadangan tersebut turut disanggah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya nantikan soalan Pokok Sena kerana ketika saya angkat agenda ni masa kerajaan dulu (PH), ia disanggah oleh Langkawi (Dr Mahathir), tak ada seorang pun di sana (PH) berani untuk sokong saya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.