Peningkatan had PGK dipuji bekas pegawai kanan PBB

53

13 JULAI: Inisiatif kerajaan menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dari RM980 kepada RM2,208 sebulan menerima pujian daripada pemerhati asing.

Bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston berkata, kerajaan Malaysia mengambil langkah berani menetapkan garis kemiskinan berdasarkan realiti semasa.

“Had garis kemiskinan yang dilaporkan baru-baru ini adalah dua kali ganda berbanding sebelumnya dan keputusan kadar garis kemiskinan secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Menyelaraskan garis kemiskinan adalah langkah utama. Cabarannya pada masa ini adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif dan memberikan ketelusan data yang lebih luas bersesuaian dengan apa yang digunakan oleh negara-negara demokratik,” katanya melalui Twitter.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK telah disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Alston yang juga profesor undang-undang dan ketua Pusat Hak Asasi Manusia dan Keadilan Global di Fakulti Undang-undang New York University menambah, kadar kemiskinan baharu iaitu 5.6 peratus daripada 0.4 peratus, hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh kebanyakan penganalisis bebas.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan memasukkan penanda aras yang lebih realistik dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.