Kluster Novgorod dikesan, 3 kes positif di Melaka

136

13 JULAI: Satu kluster baharu COVID-19 di negara ini yang dinamakan Kluster PUI Novgorod telah dikesan di Melaka dengan melibatkan sebanyak tiga kes dan 14 orang kontak rapat setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkaya, kes pertama kluster itu merupakan seorang rakyat Malaysia iaitu kes ke-8673 yang telah pulang ke negara ini dari Rusia pada 5 Julai lalu.

Menurut beliau, keputusan saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati positif dan pesakit kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8718 merupakan rakan kepada kes ke-8673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai 2020.

“Keputusan saringan COVID-19 bagi kes ke-8718 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati negatif, namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai 2020. Saringan ulangan didapati positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham memberitahu, semua 14 orang kontak rapat telah disaring dan dikesan negatif COVID-19 manakala siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif diteruskan.

Beliau menambah, terdapat penularan jangkitan COVID-19 kepada seorang ahli keluarga daripada kes yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu kes ke-8718.

“Ketibaan beliau di Malaysia pada 6 Julai 2020 telah disambut oleh ahli keluarganya. Seramai empat orang ahli keluarga telah datang bersama-sama dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut iaitu kes ke-8724 turut dikesan positif COVID-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam sekali gus menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod.

Secara keseluruhan, beliau menyatakan, terdapat tujuh kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari dan menjadikan sebanyak 8,725 kes positif COVID-19 di negara ini.

“Enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua orang warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara iaitu pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

“Satu kes penularan dalam negara pula adalah warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster PUI Novgorod,” ujarnya.

Dr Noor Hisham menjelaskan, empat kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 83 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Beliau memberitahu, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.