Kertas siasatan dokumentari Al Jazeera siap minggu ini

23

13 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyelesaikan kertas siasatan terhadap dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang disiarkan agensi media asing, Al Jazeera seawal minggu ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Undang-undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan dokumentari yang didakwa berunsur hasutan itu seterusnya akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita selesai memanggil dan merakam keterangan daripada kesemua tujuh kakitangan Al Jazeera Jumaat lalu.

“Kita akan selesaikan, percepatkan proses untuk lengkapkan kertas siasatan kes untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dipetik laporan MalaysiaGazette, hari ini.

Berhubung pencarian warga Bangladesh, Rayhan Kabir yang didakwa memburuk-burukkan kerajaan Malaysia dalam dokumentari tersebut, Mior Faridalathrash berkata, usaha mengesan lelaki terbabit masih dilakukan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada pihak polis.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.