Kerajaan perlu ambil kira keperluan segera rakyat

205

13 JULAI: Kerajaan terpaksa meluluskan perbelanjaan bantuan tanpa dibentang di Dewan Rakyat kerana rakyat perlu bantuan segera akibat penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan perlu berbuat demikian kerana situasi pandemik Covid-19 telah menimbulkan suasana sukar kepada rakyat selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga 31 Mac lalu.

Justeru itu Muhyiddin berkata kerajaan perlu bertindak pantas dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

”Di seluruh negara rakyat tahu dalam situasi yang amat sukar dan sulit itu kerajaan tiada pilihan.

“”Di luar sana rakyat menunggu. Mereka tak boleh tunggu sesi parlimen. Mereka nak  bantuan sekarang dan disampaikan sekarang.

”Saya sendiri berpendapat tindakan segera mesti diambil walaupun sebelum sesi Parlimen,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) yang menuntut Muhyiddin menjelaskan mengapa kerajaan tidak membahaskan pelan pemulihan ekonomi di Dewan Rakyat.

Anwar berhujah, dengan membahaskannya di Parlimen, rakyat akan lebih jelas dengan tindakan yang akan dilakukan oleh kerajaan.

”Saya mahu Perdana Menteri menjelaskan mengapa halang perbahasan berlaku,” soalnya.

Muhyiddin yang sudah menjangka soalan itu berkata, kerajaan perlu mengambil langkah segera berbanding menunggu sesi sidang Dewan Rakyat bermula.

Pada akhir Mac lalu Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.

Selepas itu, Muhyiddin mengumumkan pula Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion untuk memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan operasi mereka dan mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Kerajaan juga mengumumkan bantuan RM35 bilion dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Tambah beliau, walaupun kerajaan mengumumkan peruntukan berbilion ringgit dalam Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat  dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara namun kerajaan memastikan peruntukan dari sumber dalaman tidak mencecah ‘bumbung’.

Menjawab kegusaran Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) tentang kadar pengangguran di Sabah, Muhyiddin berkata, pelan-pelan bantuan yang diagihkan bertujuan memang bertujuan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, gangguan yang disebabkan oleh Covid-19 telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat.

Katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan kadar pengangguran naik 5.5% kepada 720,000 dan dijangka angka itu meningkat kepada 860,000 pada akhir tahun.

“Ini bukan berita gembira kepada kerajaan. Persoalannya apa yang harus kita lakukan?

“Sebab itu, kerajaan segera melaksanakan subsidi gaji, moratorium dan lain-lain untuk memastikan kadar pengangguran tidak terus meningkat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.