Biarlah negara lain tak pernah buat, yang penting ikut Perlembagaan

187

Benda senang, tapi saja nak bagi susah. Namun itulah politik, apa sahaja ruang akan dimanfaatkan. Cuma kali ini tidaklah sampai bersidang bawah pokok.

Seeloknya sebaik sahaja bertukar kerajaan, walaupun di pertengahan penggal, siapa yang dilantik zaman kerajaan sebelum ini faham-faham sahajalah.

Contohnya, Tommy Thomas. Tidak perlu mengheret jawatan Peguam Negara sehingga jadi polemik Perlembagaan seperti mana pemecatan Ketua Hakim Negara lebih tiga dekad lalu.

Tebalik kapal, naik nakhoda baru, pandai-pandailah berundur. Lumrah alam nakhoda baru nak pilih orang mereka sendiri.

Kalau tak ada siapa berbunyi, itu cerita lain. Tetapi bila ahli-ahli Parlimen mahu menamakan calon lain, patutnya dipermudahkan.

Kosongkan sahaja jawatan. Majoriti ahli Parlimen sudah pun berpakat membentuk kerajaan baru.

Lepas bentuk, maka mereka pun mahukan Speaker Dewan Rakyat yang baharu atas kapasiti mereka sebagai ahli Parlimen.

Bukan badan legislatif tidak terpisah daripada eksekutif, tetapi ini boleh dibuat.

Sama sahaja, kalau tidak kerana pernah berjawatan dalam Parti Amanah Negara (Amanah), sukar nak bayangkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof akan dilantik ke jawatan itu ketika PH menguasai Parlimen.

Dan Alhamdulillah di Malaysia, undang-undang lengkap. Kalau jawatan Yang di-Pertuan Agong pun bukan mutlak sepenggal, apatah lagi Speaker.

Cuma yang ditunggu ialah peluang untuk buat modal politik. Dulu di Perak geng ini sanggup bersidang bawah pokok.

Kali ini, Mohamad Ariff dapat tajuk utama apabila mengatakan hal ini tidak pernah berlaku dalam tempoh 800 tahun Parlimen Britain, tetapi boleh berlaku di Malaysia.

Secara sinis katanya, pertukaran Speaker ketika pertengahan penggal di negara Komanwel hanya pernah berlaku di Trinidad dan Tobago dan kini Malaysia.

Sedangkan kalau ada yang awal-awal berhenti, Malaysia tak perlu pecah rekod ini. Namun biasalah, dalam politik mana boleh ‘sporting’ sangat.

Tapi tak apa, Malaysia dapatkan tunjuk cara bagaimana hendak ganti Speaker di pertengahan penggal – tindakan yang dibuat mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang.

Yang penting tiada cacat dari segi undang-undang. Malaysia Boleh. Speaker baru pun berkelayakan, selain tidak pula diketahui pernah bertanding PRU atau pegang apa-apa jawatan utama dalam parti politik. -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.