Azalina wanita pertama dipilih Timbalan Speaker Dewan Rakyat

267

13 JULAI: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mencatatkan sejarah sebagai wanita pertama di negara ini yang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan beliau bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming itu dimasyhurkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang petang ini.

Usul mencadangkan Azalina untuk menggantikan Kor Ming dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan 6(2) yang dibaca bersama Peraturan 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Azhar berkata, pemilihan Azalina dibuat selepas hanya ada seorang sahaja calon dikemukakan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Pelantikan dibuat mengikut Peraturan 6(2) dibacakan bersama Peraturan 4(3), Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat,” katanya.

Azalina, 57, pernah memegang jawatan dalam Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pelancongan serta Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Parlimen hari ini, beliau menganggap pelantikannya itu sebagai perkembangan yang memberangsangkan untuk kaum wanita di Malaysia.

 “Tidak mustahil suatu hari nanti ada wanita yang akan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Dewan Negara di Malaysia pada masa depan,” katanya.

Azalina turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mencalonkan namanya selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat wanita yang pertama di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikannya juga menunjukkan kerajaan tidak pernah membeza-bezakan antara lelaki dan wanita dalam pelantikan jawatan penting di negara ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.