Anwar Ketua Pembangkang, Speaker seru patuhi SOP

91

13 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) diumumkan sebagai Ketua Pembangkang yang baharu hari ini.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada permulaan persidangan Dewan Rakyat.

“Menurut Peraturan Mesyuarat 4 (a) perenggan tiga, saya berpuas hati Datuk Seri Anwar telah mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang untuk dilantik Ketua Pembangkang. Syabas Port Dickson,” katanya membaca permasyhuran daripada Yang Dipertua.

Sementara itu, Mohamad Ariff dalam permasyhuran itu turut meminta Ahli-Ahli Dewan Rakyat melalui normal baharu berikutan penularan COVID-19 yang mengubah urusan seharian masyarakat dunia.

Katanya, biar pun ada yang tidak selesa, namun prosedur operasi standard (SOP) fasa pemulihan ini penting untuk menjamin keselamatan semua termasuk di Parlimen.

“Tambahan pula ada 87 ahli Dewan Rakyat yang melebihi usia 60 tahun dan ini pastinya lebih berisiko.

“Sehubungan itu Parlimen Malaysia telah menyediakan SOP supaya memastikan ahli-ahli Yang Berhormat dapat bersidang dalam keadaan selamat, terkawal dan dapat mencegah COVID-19,” katanya.

Katanya, berdasarkan SOP, hanya 174 ahli dapat duduk di ruang utama setelah mengambil kira penjarakan sosial satu meter dengan sebahagian penyokong kerajaan terpaksa duduk di galeri awam dan sebahagian wakil pembangkang ditempatkan di tempat duduk pegawai kerajaan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat yang duduk di galeri awam boleh menggunakan mikrofon yang disediakan di situ atau turun di tempat khas di ruang duduk belakang Dewan Rakyat bagi pertanyaan dan perbahasan.

“Ahli pembangkang yang duduk di tempat pegawai pula boleh guna mikrofon khas disediakan atau ke tempat khas andai ada pertanyaan atau untuk berbahas,” jelasnya.

Katanya, bagi melancarkan persidangan, Ahli Yang Berhormat yang duduk di ruang awam atau tempat duduk pegawai perlu menyebut nama kawasan setiap kali mengambil bahagian dalam persidangan.

“Semua ahli dewan juga dinasihatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka kecuali ketika mengambil bahagian pertanyaan dan perbahsan.

“Saya faham pasti ada ketidakselesaan terhadap SOP ini tetapi saya pohon kerjasama semua untuk kebaikan kita.

“Sama-sama kita berdoa wabak ini dibendung sepenuhnya dan tidak lagi menjadi ancaman kepada kita dan seterusnya urusan dapat kembali seperti biasa termasuk di Parlimen,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.