Alhamdulillah berakhir hari pertama, tahniah Azhar dan Azalina

177

13 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa syukur kepada Allah setelah berakhirnya hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 – hari penting yang menyaksikan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu dibuat.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Datuk Azhar Azizan Harun di atas pemilihannya itu sambil mendoakan agar perjalanan Dewan Rakyat berlangsung secara adil dan berpaksikan kepada Perlembagaan Negara

Muhyiddin menerusi catatan di Facebook miliknya petang ini turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen BN Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said di atas pelantikan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Alhamdulillah hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 (2020) baru sahaja selesai.

“Tahniah kepada Datuk Azhar Azizan Harun yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10,” katanya.

Azhar dipilih menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff setelah usul yang dibawa Muhyiddin itu mendapat sokongan 111 ahli Dewan Rakyat berbanding 109 yang menolak.

Azalina pula menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut menggantikan Ahli Parlimen PH Teluk Intan, Nga Kor Ming yang meletak jawatan sebelum itu.

Pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu itu sangat penting kerana turut dilihat sebagai simbolik ujian sokongan ke atas kerajaan kepimpinan Muhyiddin.

Sementara itu, Muhyiddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad Ariff atas khidmat beliau sepanjang menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Di sini saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Mohamad Ariff atas khidmat beliau sepanjang menjadi Yang Dipertua Dewan yang mulia ini,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.