Ahli Parlimen hadir sidang dengan SOP normal baharu

107

13 JULAI: Semua Ahli Parlimen yang menghadiri Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini perlu melalui prosedur operasi kesihatan (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan COVID19.

Antaranya mereka perlu menjalani saringan suhu badan, selain perlu memakai penutup hidung dan mulut manakala tempat duduk di dalam dewan juga dijarakkan.

Ahli-ahli Parlimen juga dikehendaki menjalani proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, ada segelintir Ahli Parlimen yang kurang bersedia menggunakan aplikasi My Sejahtera sehingga perlu dibantu pegawai mereka.

Kewajipan mematuhi SOP ini turut terpakai kepada semua kakitangan kerajaan dan petugas media sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung sehingga bulan depan.

Berikutan itu, suasana di luar bangunan Parlimen menyaksikan keesesakan di pintu masuk.

Di dalam dewan, tempat duduk anggota disusun dengan jarak satu meter antara satu sama lain dan ini memerlukan sebahagian kecil Ahli Parlimen perlu duduk di galeri awam dan pegawai kerajaan.

Bagaimanapun mereka tetap masih boleh mengambil bahagian dalam persidangan seperti biasa menerusi susun atur baru.

SOP bagi mencegah COVID-19 ini seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.