1,494 PATI ditahan cuba ceroboh masuk negara

83

13 JULAI: Seramai 1,494 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dalam Op Benteng kerana cuba menceroboh sempadan negara dari 1 Mei sehingga 12 Julai 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditahan adalah 249 tekong serta 50 bot dan 191 kenderaan yang terlibat dalam cubaan untuk mencerobohi sempadan Malaysia.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,255 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, PDRM telah menahan 37 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu, seramai lima individu telah direman manakala 32 individu dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (1 individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (16 individu) serta aktiviti yang melanggar SOP (20 individu),” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu seramai 793 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Australia, Indonesia, Singapura, , Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 787 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala enam individu dibawa ke hospital.

“Seramai 139 individu telah masuk melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan Feri Pasir Gudang dan kesemua diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.