PN tiada masalah berdepan pembangkang di Parlimen

400

12 JULAI: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai masalah besar bagi menghadapi pembangkang pada Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas 2020, bermula esok.

Ini termasuk dalam urusan pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya yang bakal menjadi tumpuan pada hari pertama persidangan esok.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata apa yang penting semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan parti lain yang mewakili PN perlu bersatu padu dan bersedia mempertahankan kerajaan sedia ada dengan apa cara sekali pun.

Hishammuddin berkata tiada sebab wakil rakyat PN tidak mampu bertahan atau mengalah kepada pembangkang kerana mereka tahu siapa ‘musuh’ dan sahabat dalam Dewan Rakyat.

“Saya yakin PN tidak akan menghadapi masalah besar untuk berdepan dengan barisan pembangkang jika semua ahli Parlimen pro kerajaan semasa bersatu padu demi kepentingan ummah dan rakyat jelata.

“Insya Allah, berkat usaha bersatu padu dan disiplin diterapkan dengan meletakkan masa depan rakyat, parti dan masyarakat ummah dan orang Melayu.

“Apa yang penting kita jangan bertelagah dan bercakaran sesama sendiri atas matlamat dan tujuan sama,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan PWTC sebentar tadi.

Sebelum itu, beliau bersama Ahli-ahli Parlimen BN menghadiri majlis taklimat pra majlis bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelang sidang Dewan Rakyat esok.

Dalam Facebook beliau, Hishammuddin turut berkongsi gambar perbincangan beliau bersama Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum majlis berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, pula menggesa semua ahli Parlimen Blok PN hadir sidang Parlimen mulai esok bagi melancarkan urusan pembentangan, perbahasan dan kelulusan usul bakal dibentangkan kerajaan nanti.

“Semua ahli Parlimen PN mesti menyokong semua usul yang bakal dibentangkan blok kerajaan termasuk penukaran Speaker dan Timbalan Speaker yang dijangka dibentangkan esok.

“Insya Allah, kedudukan siapa bakal Speaker dan Timbalannya akan berubah esok,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.