Lima pendatang cuba menyusup keluar ditahan

46

12 JULAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan lima lelaki warga Indonesia yang didapati cuba menyusup keluar dari negara ini menerusi laluan tidak sah di Kampung Gambut Punggai, Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia berkata, tangkapan kesemua lelaki berusia 23 hingga 40 tahun terbabit dilakukan oleh pasukan Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) pada 4 pagi selepas menerima maklumat mengenai kehadiran sebuah bot menghampiri kampung berkenaan.

Hasil maklumat daripada sistem pengawasan radar kenderaan perisai Gempita oleh Rejimen Kedua Kor Armor Diraja itu, sepasukan anggota 61 RAD digerakkan membuat rondaan keselamatan di sekitar kampung berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah bot yang mencurigakan, kira-kira  50 meter dari pantai. 

“Hasil pemeriksaan kemudian menemukan lima pendatang tanpa izin (PTI) bersembunyi di dalam semak, dipercayai sedang menunggu untuk menaiki bot terbabit,” demikian menurut kenyataan Markas itu.

Menurut kenyataan itu, kesemua PATI yang ditangkap kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.