Lebih 16,000 disaring di KLIA

88

12 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan saringan COVID-19 ke atas 16,359 individu di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Jun sehingga semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 16,293 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 66 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Semalam (11 Julai 2020), seramai 1,000 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Iran, Indonesia, Singapura, UAE, Taiwan, Qatar, Myanmar, Australia, Belanda, India, Korea Selatan dan Jepun.

“Daripada jumlah itu, 998 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine) manakala dua individu dibawa ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, PDRM juga membuat 1,230 pemantauan pematuhan SOP home quarantine dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 9 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 15 penguat kuasa, semalam.

Tambah Ismail Sabri, daripada jumlah itu, pemeriksaan CIDB telah mendapati kesemua 9 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan.

Berikutan itu jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,981 tapak binaan manakala 525 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran. Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.