Fuziah ketuai Wanita PKR, Anwar ucap selamat

67

12 JULAI: Selepas melucutkan jawatan dan keahlian Hanizah Mohamed Talha sebagai Ketua Wanita PKR, parti itu kini melantik Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bagi menjalankan tugas mengetuai sayap itu.

Ironinya, Fuziah adalah pencabar kepada Hanizah pada pemilihan PKR dua tahun lalu namun tewas dalam pertembungan satu lawan satu – ketika persaingan sengit antara kem Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam responsnya hari ini, Presiden PKR, Anwar mengucapkan selamat maju jaya kepada Fuziah dalam memimpin pasukan Wanita Keadilan.

“Bersama kita memenuhi cita bangsa dalam membela dan memperkasa suara kaum wanita di Malaysia,” kata Anwar menerusi Facebook miliknya.

Pemilihan Fuziah untuk memimpin sayap Wanita PKR diumumkan Penasihat parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi Facebook semalam.

“Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bersetuju melantik Fuziah Salleh bagi mewakili MPP untuk menjalankan tugas-tugas Ketua Wanita sehingga pemilihan akan datang,” katanya.

Hanizah sebelum ini menegaskan tindakan PKR memecatnya sebagai ada kaitan dengan balas dendam terhadap pemimpin yang rapat dengan Mohamed Azmin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.