DSP dipenjara 4 tahun kesalahan penggubahan wang haram

77

12 JULAI: Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan kerana didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM2.08 juta, enam tahun lalu.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyabitkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd Ismail Syed Merah, 57.

Abu Bakar dalam hujah penghakimannya, berkata hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam melepas dan membebaskan tertuduh pada Januari tahun lalu.

“Selepas meneliti semuanya, saya mendapati hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila melepas dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

“Oleh itu, tertuduh dihukum penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara serentak,” katanya.

Pada 30 Januari tahun lalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan tertuduh daripada semua tujuh pertuduhan berkenaan selepas perbicaraan dan pendakwaan dijalankan bermula Disember 2016.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Mohd Ismail didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menggunakan wang hasil aktiviti haram melalui pembelian pelan dan pelaburan perlindungan insurans yang didaftarkan atas nama tertuduh dan nama anaknya yang diuruskan ejen insurans MAA Takaful Bhd.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di MAA Takaful Bhd di No 58 dan 60, Susur 1, Jalan Tun Razak, di sini, antara 4 September 2014 hingga 26 Februari 2015.

Setiap lima pertuduhan itu masing-masing membabitkan wang berjumlah RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000.

Bagi pertuduhan keenam, dia didakwa melakukan kesalahan sama, membabitkan wang berjumlah RM499,620 di RHB Bank Bhd Cawangan Batu Pahat di No 89, Jalan Rahmat, Batu Pahat dengan menggunakan akaun bank pihak ketiga, iaitu akaun RHB Bank Bhd milik Tan Kim Tee pada 8 Oktober 2015.

Mohd Ismail juga dituduh atas kesalahan sama di CIMB Bank Bhd Cawangan Batu Pahat di 39A, Jalan Rahmat, Batu Pahat, membabitkan wang berjumlah RM29,950 dengan menggunakan akaun pihak ketiga, iaitu akaun CIMB Bank Bhd milik Kim Tee pada 28 Disember 2015.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Ashraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.