COVID-19: Kes tempatan kembali dua angka

100

12 JULAI: Selepas lebih dua minggu, kes baharu COVID-19 bagi jangkitan dalam negara kembali mencatatkan dua angka hari ini dengan 11 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tiga kes lagi melibatkan jangkitan di luar negara menjadikan keseluruhan kes baharu yang dilaporkan tengah hari ini sebanyak 14 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kes jangkitan dalam negara, lapan melibatkan bukan warganegara iaitu kes kes-kes saringan kontak rapat kepada kes yang pernah dilaporkan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang.

Katanya, kesemua warga asing sejak sebelum ini telah diasingkan di dalam DTI Sepang dan sehubungan itu tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat.

Beliau menambah, tiga kes tempatan pula melibatkan dua di Kuching dengan salah satunya daripada kluster baru iaitu kluster kejuruteraan manakala satu lagi kes di Keningau, Sabah.

“Sebuah kluster baharu telah dikesan di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching. Sehingga 12 Julai 2020 jam 12 tengah hari, sebanyak dua kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam kluster ini dengan yang pertama 9 Julai lalu.

“Langkah pencegahan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di premis syarikat tersebut. Punca jangkitan kluster ini adalah masih di dalam siasatan,” katanya.

Pelbagai pihak sebelum ini menyeru rakyat Malaysia terus berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan agar kes baharu tidak kembali menular seperti berlaku di sesetengah negara, termasuk Australia.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan tiada kes kematian baharu dilaporkan manakala tiga pesakit COVID-19 kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 77 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Noor Hisham memaklumkan terdapat 721 kes positif dalam kalangan bukan warganegara dilaporkan melibatkan kluster DTI Sepang dan Bukit Jalil.

Katanya, paling ramai dikesan positif warga India dengan seramai 191 orang, diikuti Indonesia (173), Bangladesh (160), Myanmar (91) dan Pakistan (65). -M.HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.