RM70 juta bantu penggiat industri pembinaan

48

11 JULAI: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyediakan peruntukan RM70 juta untuk membantu penggiat industri pembinaan yang terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beberapa program strategik di bawah inisiatif itu akan dilaksanakan tahun ini.

Menurut beliau, program-program tersebut akan memberi pendedahan serta melatih 30,000 penggiat industri terdiri daripada kontraktor, pekerja pembinaan dan belia dalam pelbagai bidang kemahiran.

FADILLAH YUSOF

“Sejumlah 17,700 pekerja pembinaan tempatan dan juga golongan belia tempatan bakal mendapat manfaat daripada program-program berbentuk latihan ‘skilling’ (kemahiran), ‘reskilling’, ‘upskilling’ serta akreditasi kemahiran yang akan dilaksanakan.

“Usaha ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran pekerja dan belia tempatan dalam bidang berimpak tinggi untuk kerjaya dalam industri pembinaan, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fadillah menambah, CIDB juga akan menyediakan program perantisan, melibatkan 7,800 belia tempatan yang akan ditempatkan di syarikat-syarikat pembinaan untuk dilatih dan seterusnya memperoleh pengalaman bekerja dalam industri pembinaan.

Beliau memberitahu, seramai 3,700 pekerja pembinaan dan belia tempatan juga akan dilatih dalam bidang penyeliaan dan pengurusan projek, manakala 400 lagi akan dilatih dalam bidang keselamatan tapak bina.

“Bagi memudahkan pengguna dan pemilik rumah membuat carian dan mendapatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor kecil tempatan, CIDB telah membangunkan aplikasi mudah alih Contractor4U,” jelasnya.

Fadillah menyatakan, pendaftaran untuk aplikasi itu dibuka kepada semua kontraktor, terutamanya kontraktor G1 dan G3 dan sehingga kini, seramai 4,500 kontraktor telah berdaftar dalam aplikasi itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.