Lebih 19,000 PATI dihantar pulang

71

11 JULAI: Kerajaan telah menghantar pulang seramai 19,111 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara masing-masing setakat 7 Julai lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, tiga negara tertinggi yang terlibat adalah Indonesia (8,575 PATI), Bangladesh (2,584 PATI) dan Myanmar (1,890 PATI).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam.

“Sebanyak 32,106 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan seorang warganegara asing kerana kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri menambah, PDRM juga telah menahan dan mengeluarkan kompaun kepada 36 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut beliau, antara kesalahan yang dilakukan termasuk aktiviti sukan sentuh (18 individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (2 individu) serta 16 individu terlibat dalam aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Berhubung solat Jumaat semalam, Ismail Sabri menyatakan, PDRM turut membuat pemantauan terhadap pematuhan SOP melibatkan sebanyak 2,507 buah masjid yang melibatkan seramai 287,296 jemaah.

“Hasil pemantauan telah mendapati bilangan jemaah mengikut kapasiti masjid serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.