1 kematian, 8 kes baharu dicatatkan hari ini

104

11 JULAI: Setelah hampir sebulan tiada kematian akibat COVID-19, seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa ke-122 yang meninggal dunia akibat dijangkiti wabak tersebut, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berumur 72 tahun itu meninggal dunia pada pukul 5.49 petang.

Menurut beliau, lelaki tersebut mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis serta telah mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai lalu sebelum dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai 2020.

“Beliau segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif COVID-19.

“Beliau kemudiannya disahkan positif COVID-19, kesihatan beliau terus merudum dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum meninggal dunia,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Kematian terakhir akibat COVID-19 di negara ini direkodkan berlaku pada 12 Jun lalu, melibatkan seorang lelaki warga asing.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak lapan kes baharu positif COVID-19 direkodkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,704 kes dengan 67 kes aktif kebolehjangkitan.

Beliau berkata, empat daripada lapan kes tersebut adalah kes import manakala bakinya kes penularan tempatan.

“Daripada empat kes penularan di dalam negara, dua membabitkan warganegara dan dua kes membabitkan warga asing.

“Perincian kes penularan tempatan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Kes ini juga merupakan kes kematian ke-122 yang dilaporkan hari ini.

“Bagi kes positif dalam kalangan warga asing pula, dua kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, di mana kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran balik ke negara asal,” ujarnya.

Dr Noor Hisham turut memberitahu, empat kes telah sembuh dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang bebas jangkitan COVID-19 sebanyak 8,515 kes.

Selain itu, katanya, tiga kes positif COVID-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua lagi kes memerlukan bantuan pernafasan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.