Walaupun sakit, Norhizam tetap teringatkan rakyat

5,036

10 JULAI: Pasti ramai yang tertanya-tanya ke mana menghilang tokoh politik viral, Datuk Norhizam Hassan Baktee setelah tidak melihat kelibat beliau dalam media sosial atau secara fizikal kebelakangan ini.

Rupa-rupanya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Melaka itu menjalani dua pembedahan di Hospital Pakar Putra Melaka pada Selasa dan Rabu lalu.

Melalui video yang dimuat naik dalam laman Facebook ‘Aku YB ke Kau YB’ semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu menjelaskan, pembedahan pertama pada Selasa mengambil masa kira-kira sejam untuk membuang ketumbuhan kecil dalam perutnya.

Ab Rauf turut menziarahi Norhizam di hospital.

Beliau menambah, pembedahan kedua pada Rabu pula mengambil masa kira-kira empat jam untuk merawat sinusitis serta membetulkan tulang jarinya yang bengkok.

“Alhamdulillah ia berjaya dilakukan saya semakin pulih. Saya mohon rakyat Melaka agar dapat mendoakan kesejahteraan saya,” katanya.

Walaupun dalam keadaan sakit, Norhizam yang dikenali sebagai seorang wakil rakyat yang rajin turun padang bertemu orang ramai berharap dapat menjalankan tugas secepat mungkin.

“Sebagai wakil rakyat yang telah dilantik oleh rakyat, demi rakyat saya sanggup buat apa sahaja untuk rakyat, itulah yang dinamakan wakil rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dan Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kerana meluangkan masa menziarahinya di hospital.

Norhizam merupakan seorang ADUN Bebas setelah dipecat oleh DAP pada 10 Mac lalu kerana menyokong Perikatan Nasional (PN) di Melaka. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.