Polis tidak putus asa buru Jho Low dan Nik Faisal

36

10 JULAI: Polis percaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd (SRC International),  Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil yang diburu bagi membantu siasatan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta kini berada di Hong Kong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata berdasarkan maklumat diterima polis Nik Faisal kini bersembunyi di Hong Kong bersama keluarganya.

Malah, Abdul Hamid menjelaskan polis sudah banyak kali menulis surat kepada pihak berkuasa Hong Kong untuk membantu penahanan Nik Faisal namun jawapan diterima adalah negatif.

“Kita sudah banyak kali buat permintaan dengan pelbagai cara, tambahan lagi kita beri butiran tertentu. Tapi maklum balas kita terima daripada mereka (polis Hong Kong) negatif. Itu antara kekangan kita untuk membawa balik dia (Nik Faisal),” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Berikutan itu Abdul Hamid berkata beliau berasa hairan dengan maklum balas diterima daripada polis Hong Kong sedangkan sebelum ini negara terbabit mempunyai hubungan dan kerjasama baik dengan PDRM dalam kes lain.

“Sebelum ini kerjasama antara PDRM dan Polis Hong Kong adalah amat baik terutama membabitkan kes jenayah dan komersial termasuklah penganjuran perlawanan persahabatan ragbi. Tetapi bagi kes ini, tidak dipastikan mengapa mereka sukar memberi kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hamid menjelas PDRM tidak pernah berputus asa untuk menjejaki ahli perniagaan dalam buruan polis iaitu Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan menjadi ‘mastermind’ dalam kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International.

“Namun usaha memburunya tidak akan dilonggarkan. Saya akan berusaha. Kita akan buat sesuatu dan saya tidak akan beralah dalam kes ini kerana wang yang diambil atau dicuri ini adalah begitu besar.

“Bukan saja Jho Low, tapi empat atau lima orang lagi saya tahu. Ada yang berulang-alik dari Kemboja, Taiwan dan Thailand. Saya terus memotivasikan pasukan saya dan saya tidak akan putus asa,” katanya.

Terdahulu, Nik Faisal dilaporkan meninggalkan negara pada 7 Mei 2018, manakala Jho Low pula pada 29 Mei 2015.

Susulan itu, waran tangkap terhadap Nik Faisal dan Jho Low dikeluarkan pada 22 Mei 2018 bagi mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) menahan kedua-dua mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.