Polis ambil keterangan tokoh aktivis berkait siasatan kes cabul

115

10 JULAI: Tokoh aktivis yang juga pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkenal dipanggil memberi keterangan kepada polis malam tadi kerana didakwa mencabul doktor pelatih lelaki dalam kejadian 4 November tahun lalu.

Suspek yang berkerusi roda dan berusia 50-an itu kemudian diberi jamin setelah selesai proses merakam percakapan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun yang bekerja dengan suspek.

Katanya, polis menerima laporan daripada mangsa yang merupakan doktor pelatih pada 17 Februari lalu.

“Setelah membuat laporan polis tersebut, pada awalnya, pengadu tidak mahu meneruskan tindakannya.

“Kemudian, pada 7 Julai lalu, pengadu sekali lagi meminta pihak polis untuk meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mazlan, berdasarkan laporan doktor, pelatih itu mendakwa dicabul kira-kira pukul 12 tengah hari 4 November lalu oleh suspek di dalam bilik pejabat suspek di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Ujar beliau, pengadu lewat membuat laporan polis kerana khuatir kerjayanya musnah memandangkan suspek adalah penyelia kepada pengadu dan merupakan seorang yang berpengaruh.

“Suspek yang bekerja sebagai seorang pensyarah juga merupakan pengasas kepada sebuah NGO.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis.

“Polis Kuala Lumpur ingin menasihatkan mangsa kes sebegini untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pelaku dan hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang dapat dikenakan kepada sesiapa yang terlibat,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana balai polis berdekatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.