Pemulihan ekonomi fokus utama 2020 – Azmin

50

10 JULAI: Kerajaan tidak mungkin mengadakan pilihan raya umum (PRU) mengejut pada tahun ini kerana fokus utama sekarang ialah pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan sekarang mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap pelan pemulihan ekonomi dan mengembalikan keyakinan dalam kalangan pelabur berikutan krisis ekonomi akibat penularan COVID-19, sejak Mac lalu.

Malah, Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Ekonomi menegaskan kerajaan memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun untuk memastikan ekonomi negara kembali aktif.

“Kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berjaya menggamit kepercayaan komuniti perniagaan dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Kita perkenalkan pakej Prihatin dan Penjana sebagai usaha untuk kurangkan kesan pandemik Covid-19 dan hasilnya nampak positif,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Gombak di sini, hari ini.

Beliau mengulas pandangan beberapa pemerhati politik yang berpendapat pimpinan Muhyiddin perlu dikekalkan sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun lagi supaya usaha pemulihan ekonomi berjalan lancar.

“Semua boleh bagi pandangan, itu terpulang,” katanya yang yang menyatakan berdasarkan usaha yang dibuat sekarang, termasuk pakej rangsangan ekonomi, kita boleh capai tahap lebih positif tahun depan.

Dalam pada itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, laporan Bank Dunia baru-baru ini juga menyebut bahawa Malaysia adalah antara negara yang akan mencatat pertumbuhan positif dengan unjuran pertumbuhan sekitar 6.3 peratus hingga 7.5 peratus pada 2021.

“Maknanya masyarakat dunia yakin pentadbiran hari ini mampu memulihkan ekonomi negara sebab itu mereka berani keluarkan unjuran yang positif untuk Malaysia. Ini boleh mengembalikan keyakinan pelabur.

“Saya kira usaha ini perlu diteruskan kerana dengan adanya pelaburan baru, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi kepada rakyat. Ia tumpuan kerajaan pada masa ini,” yang turut memaklumkan unjuran Bank Dunia itu tertakluk kepada keupayaan negara untuk menyegerakan pemulihan ekonomi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.