JAWI diberi ‘lesen penuh’ tangani isu transgender

104

10 JULAI: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diberi ‘lesen penuh’ untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang terhadap golongan transgender.

Peranan jabatan itu kini bukan sekadar menangkap sahaja malah mereka boleh memberi tarbiah bagi membantu mereka kembali ke pangkal jalan.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, penguatkuasaan undang-undang berkenaan mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Saya beri lesen penuh kepada semua penguat kuasa kepada mereka untuk laksanakan fungsi Bahagian Penguatkuasaan JAWI dengan sebaiknya di Wilayah Persekutuan. Dengan syarat, patuhi SOP yang telah ditetapkan. ⁣

“Kita tidak hanya mahu tangkap semata-mata tetapi yang paling utama adalah tarbiah (pendidikan) dengan cara yang paling berhikmah agar mereka semua (transgender) kembali ke pangkal jalan. Islam adalah agama yang mendidik. Ini perlukan usaha yang bersepadu dari semua agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama),” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Zulkifli memberitahu, Kabinet telah meluluskan inisiatif Hari Jawi pada setiap Jumaat bermula hari ini sebagai usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

“Sebagai usaha mengekalkan dan memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga ke hari ini, saya menguar-uarkan kempen hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini,” jelasnya.

Menurut beliau, bagi menzahirkan tulisan Jawi di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi menteri akan menggunakan tulisan Jawi dalam urusan rasmi.

Tambahnya, penggunaan tulisan Jawi dalam media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Saya ingin menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya.

Tulisan Jawi menjadi bahasa perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dahulu.

Ia juga turut diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu di bawah Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebut tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi Bahasa Kebangsaan. – Oleh HAIKA KHAZI & AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.