Cari jalan terbaik tarik semula pelabur asing

75

10 JULAI: Perwakilan Malaysia di luar negara mempunyai tugas besar dalam membantu memulihkan kembali pembangunan negara ketika seluruh dunia terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, antaranya mereka diharapkan dapat mencari jalan terbaik bagi menarik semula para pelabur ke negara ini.

Justeru Perdana Menteri mahu mereka bekerja keras bagi meningkatkan hubungan dua hala yang memberi nilai tambah kepada pelaburan dan perdagangan dalam bidang seperti pelancongan, sains, pendidikan dan teknologi maklumat.

“Mereka perlu mencari jalan terbaik bagi menarik semula para pelabur ke negara ini,” kata Perdana Menteri dalam catatan Facebook miliknya selepas menerima kunjungan hormat daripada daripada empat Duta Besar dan seorang Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baru dilantik hari ini.

Mereka ialah Datuk Bala Chandran Tharman (Duta Besar ke Rusia), Abu Bakar Mamat (Chile), Sazali Mustafa Kamal (Turki), Zamshari Shaharan (Qatar) dan Haznah Md Hashim (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh).

Dalam perjumpaan selama 45 minit itu, kata Muhyiddin, beliau menekankan tentang peranan yang boleh mereka lakukan bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara pasca COVID-19.

“Saya menaruh keyakinan penuh kesemua duta dan pesuruhjaya tinggi yang dilantik ini dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.