Pemandu bas sekolah dapat RM600

114

10 JULAI: Kerajaan hari ini meluluskan bantuan khas berjumlah RM600 kepada 35,000 pemandu bas sekolah yang layak di seluruh negara yang membabitkan peruntukan berjumlah RM21 juta.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif PRIHATIN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 27 Mac lalu sebagai usaha Kerajaan dalam berdepan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Menurut beliau, bantuan ini akan diberikan kepada pemandu-pemandu bas sekolah di seluruh negara yang memegang lesen memandu sah dan memandu kenderaan daripada pengendali bas berdaftar.

“Pada 14 Mei 2020, saya sendiri telah berdialog dengan beberapa persatuan pengendali bas sekolah untuk mendapatkan maklum balas mereka seterusnya membuat tindakan susulan sewajarnya.

“Hari ini, Setiausaha Politik saya telah bertemu dengan mereka untuk meneruskan hubungan dengan pengendali bas sekolah seterusnya dapat menyelesaikan permasalahan berbangkit dalam industri.

“Hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan telah meluluskan bantuan khas berjumlah RM600 kepada setiap seorang membabitkan seramai 35,000 pemandu bas sekolah yang layak di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM21 juta,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Ka Siong memberitahu kaedah pembayaran akan diumumkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), iaitu agensi di bawah MOT yang bertanggungjawab menyalurkan bantuan tersebut.

Beliau menambah, pihaknya juga telah memberi cadangan kepada kerajaan supaya peruntukan tambahan diberikan kepada mereka yang terkesan semasa pelaksanaan PKP.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan di atas kerjasama dengan MOT untuk membantu para pemain industri yang terjejas sepanjang tempoh PKP,” katanya. -AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.