Al Jazeera bertegas pertahan dokumentari kecam Malaysia

50

10 JULAI: Walaupun dikecam hebat rakyat Malaysia kerana menyiarkan laporan tidak tepat mengenai situasi kawalan penularan COVID-19 di negara ini, agensi berita asing Al Jazeera cuba menegakkan benang basah kononnya dokumentarinya adalah ‘berkualiti, profesional dan seimbang’.

Al Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar tetap mempertahankan dokumentari bertajuk ‘The East 101: Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ kononnya sebagai tepat, tidak mengelirukan.

“Al Jazeera masih berpegang dengan pendirian bahawa dokumentari mingguan The 101 East mempunyai reputasi kerana menghasilkan kewartawanan yang berkualiti tinggi serta mendalam,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sesawang Al Jazeera, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, episod ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ mengandungi pandangan dan pengalaman individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk doktor dan petugas barisan hadapan Malaysia.

Tambahnya, seperti yang dinyatakan dalam filem itu, Al Jazeera mengiktiraf bahawa tindakan Malaysia telah berjaya membendung penularan Covid-19.

“Program itu jelas menunjukkan usaha kemanusiaan dilakukan oleh organisasi Malaysia yang menyediakan bantuan secara terus kepada keperluan migran.

“Episod itu tidak mengandungi sebarang pandangan peribadi daripada kakitangan Al Jazeera,” katanya.

Dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang berdurasi 25 minit 50 saat itu dikritik rakyat Malaysia memandangkan ia mengecam layanan kerajaan terhadap pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan langkah-langkah penularan COVID-19. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.