ADUN Rahang, Mary Josephine keluar DAP

1,922

10 JULAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh disahkan telah keluar DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas yang pertama di Negeri Sembilan.

Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohd Omar.

Beliau menyatakan telah menerima surat makluman tentang peletakan jawatan Mary sebagai ahli DAP di pejabatnya melalui serahan tangan.

“Kita menghormati keputusan beliau walau pun sebagai ADUN Bebas tetapi beliau menyatakan tetap akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

“Beliau hanya meletakkan semua jawatan dalam parti DAP sahaja, jadi tiada PRK (Pilihan Raya Kecil),” katanya.

Difahamkan, ADUN Rahang itu mengadakan sidang media khas pada pukul 11 pagi tadi.

Tindakan Mary Josephine itu menyebabkan kerusi PH di Negeri Sembilan tinggal 19 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) kekal mempunyai 16 kerusi.

Spekulasi berhubung kemungkinan berlaku peralihan kepimpinan kepada Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan mula berlegar selepas PH tumbang di peringkat kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, pada masa ini tidak dapat dipastikan sama ada tindakan Mary Josephine itu ada kaitan dengan spekulasi berkenaan.

Sekiranya empat lagi ADUN dari PH mengambil langkah serupa, BN bakal menjadi gabungan parti yang mempunyai kerusi terbanyak di DUN Negeri Sembilan sekali gus boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu.

UMNO mempunyai 15 kerusi DUN menjadikannya parti dengan kerusi DUN tertinggi di Negeri Sembilan, diikuti DAP (10 kerusi), PKR (6 kerusi), PAN (3 kerusi), MIC (1 kerusi) dan Bebas (1 kerusi). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.