SPRM tak pilih kasih siasat kes rasuah

47

9 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memilih kasih dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah termasuk membabitkan parti dan ahli politik di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini, sistem keadilan jenayah di Malaysia berpaksikan kepada prinsip pengasingan tiga kuasa iaitu penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman.

Menurut beliau, tugas suruhanjaya itu sebagai agensi yang menjalankan penguatkuasaan adalah dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

SHAMSHUN BAHARIN

“Keputusan untuk menjalankan siasatan terhadap sesuatu kes juga bukan diputuskan satu pihak semata-mata, sebaliknya melalui mesyuarat harian yang dianggotai ramai pegawai.

“Kita tidak pilih bulu. Kita buat siasatan sekiranya terima maklumat mengenai kejadian rasuah. Namun, apa yang berlaku, perkara yang berlaku di peringkat mahkamah juga dikaitkan dengan SPRM.

“SPRM menjalankan siasatan tanpa mengira warna parti politik, tidak kira parti politik biru, merah atau hijau, selagi kita terima laporan, kita akan siasat,” katanya ketika ditemu bual stesen radio MACC.fm yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, hari ini.

Shamshun Baharin memberitahu, tidak timbul dakwaan bahawa SPRM menjadi kuda tunggangan parti politik.

“Mana-mana pihak yang mahu siasatan kes rasuah dijalankan SPRM perlu memastikan mereka memberi perincian kes rasuah yang berlaku bagi memudahkan siasatan dijalankan pihaknya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.