Hayati Rukun Negara elak tindakan jejas keharmonian

62

9 JULAI: Pembinaan negara bangsa yang bersatu padu, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia bukan mudah sekiranya lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara tidak dihayati dan dijunjung seluruh masyarakat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu, persefahaman dan perpaduan yang dikecapi ketika ini merupakan pencapaian yang harus dibanggakan dan dikekalkan seluruh lapisan masyarakat.

“Saya yakin sebarang perbuatan yang boleh menyinggung perasaan orang lain dan menggugat keharmonian serta perpaduan boleh dielakkan sekiranya kita semua mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya dalam catatan terbaru di Facebook miliknya hari ini.

Dalam catatan itu, Muhyiddin berkongsi mengenai sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara yang dirasmikannya di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri berkata, satu prinsip yang menjadi asas identiti diri dan penyatuan rakyat Malaysia selama ini adalah prinsip Rukun Negara.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang negara ini telah melalui pelbagai cabaran yang mencabar untuk sampai ke tahap ini.

Oleh itu, beliau mahu keharmonian yang ada dikekalkan kerana perpaduan rakyat amat penting lebih-lebih lagi ketika negara masih berhadapan dengan krisis kesihatan awam seperti pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, saya amat terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat. Perpaduan rakyat banyak membantu kerajaan mengurus wabak itu dengan berkesan.

“Saya yakin, negara akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu diperkukuh dan diteruskan pada masa akan datang,” jelasna. -M.H HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.