Perpaduan rakyat faktor kejayaan urus Covid-19

235

9 JULAI: Tan Sri Muhyddin Yassin mengakui amat terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat Malaysia ketika negara dilanda Covid-19 sehingga membolehkan kerajaan mengurus wabak itu dengan berkesan dan diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat bahawa perpaduan dan keharmonian sentiasa menjadi perkara yang sangat penting lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan krisis.

“Saudara-saudari tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit dan status sosial telah bersama-sama bantu-membantu dan melindungi antara satu sama lain sehingga kita berjaya mengatasi krisis ini.

“Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini kita teruskan pada masa-masa akan datang, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga kita di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara di Putrajaya hari ini.

Yang hadir sama, menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pendidikan Rukun Negara akan dijadikan agenda teras kerajaan bagi mengeratkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh menerajui pelaksanaan agenda ini menerusi penganjuran pelbagai program, inisiatif dan aktiviti berkaitan.

Selain itu, katanya, usaha menyemarakkan penghayatan kelima-lima prinsip Rukun Negara yang memberi makna amat mendalam kepada rakyat Malaysia itu turut perlu melibatkan kerjasama badan-badan bukan kerajaan, pihak swasta dan masyarakat sivil.

“Saya percaya jika usaha yang bersungguh-sungguh digembeleng oleh semua pihak, kita akan berjaya menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai Rukun Negara demi mengeratkan perpaduan rakyat di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, tegas Muhyiddin, dunia tanpa sempadan dan kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat membuatkan negara seringkali berhadapan dengan isu-isu baharu yang kadangkala menguji tahap perpaduan dan keharmonian rakyat.

Katanya, walaupun tindakan tegas diambil ke atas mereka yang menyinggung perasaan anggota masyarakat yang lain di media sosial, namun perbuatan sedemikian meninggalkan kesan luka yang mendalam ke atas perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Namun kata beliau, keadaan ini boleh dielakkan jika rakyat benar-benar mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan untuk menghayatinya, ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar.

“Yang penting, kita mempunyai kesedaran untuk sentiasa mengeratkan perpaduan dan memelihara keharmonian masyarakat menerusi amalan prinsip-prinsip dan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam Rukun Negara,” jelasnya. -M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.