Pelajar tingkatan 4, 6 sekolah asrama masuk dulu

83

9 JULAI: Hanya pelajar tingkatan empat dan enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibenar kembali bersekolah pada 15 Julai ini.

KPM memaklumkan, keutamaan diberikan kepada pelajar tingkatan empat dan enam dalam usaha untuk memastikan mereka mempunyai masa mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam tahun depan.

Menurutnya, pelajar tingkatan satu, dua dan tiga di sekolah berasrama pula akan meneruskan pembelajaran di rumah sehingga sesi persekolahan mereka dimulakan pada 3 Ogos depan.

“Keputusan ini terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM),” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd. Radzi Md. Jidin mengumumkan sesi persekolahan bagi Pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan, akan bermula pada 15 Julai secara berperingkat.

Dalam pada itu, KPM memberitahu, beberapa penambahbaikan sudah dibuat ke atas tatacara pengurusan asrama berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Penambahbaikan ini dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan sudah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 60 Tahun 2020 pada 9 Julai 2020,” katanya.

Dalam pada itu, KPM membenarkan pelajar pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga, susulan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) itu.

“KPM sentiasa mengambil kira pandangan dan saranan KKM dalam memastikan semua murid sekolah berasrama dapat mengikuti pembelajaran di sekolah dalam keadaan yang selamat.

“KPM memohon supaya ibu bapa, guru dan murid dapat memberi kerjasama bagi memastikan pembukaan semula sekolah, khususnya sekolah berasrama, berjalan dengan lancar,” katanya. -AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.