Mengapa ‘akauntan gagal’ beri projek kepada syarikat tenat?

193

9 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kewajaran tindakan seorang bekas pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang yang digelarkannya sebagai ‘akauntan gagal’ memberi projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion kepada sebuah syarikat yang tenat.

Malah, beliau berkata, pemegang saham terbesar syarikat tersebut juga dalam keadaan defisit ketika itu.

Najib memberitahu, juruaudit bagi dua syarikat itu turut memberi amaran rasmi dalam penyata akaun diaudit bahawa ada kemungkinan kedua-duanya akan muflis.

“Namun, kemungkinan syarikat-syarikat itu akan muflis dan sedang berada dalam keadaan defisit/kerugian tidak merupakan halangan bagi akauntan gagal untuk memberi projek RM6.3 bilion kepada mereka.

“Akauntan gagal tak pandai baca penyata akaun kot,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, dalam masa setahun sahaja, syarikat terowong itu bertukar dari sebuah syarikat yang defisit menjadi sebuah syarikat yang untung besar selepas ia menerima bayaran bahagian pertama dari kerajaan DAP Pulau Pinang iaitu RM114 juta daripada kos laporan RM305 juta projek terowong.

“Dari defisit RM7.9 juta menjadi positif RM60 juta hanya dengan kerja membuat sebahagian dari laporan kebolehlaksanaan sahaja,” ujarnya,

Najib menyatakan, sebelum ini, diketahui umum bahawa kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai projek terowong yang terbongkar mengandungi pengakuan pemilik syarikat terowong bahawa akauntan gagal berjanjik untuk memberi projek kepada syarikat terowong sebelum proses permohonan cadangan dibuka.

Menurut beliau, pendedahan itu adalah berbeza dengan dakwaan pemimpin-pemimpin DAP kononnya projek itu ditawarkan secara tender terbuka.

“Selain mengaku mereka telah banyak kali membayar rasuah kepada akauntan gagal dan beberapa lagi pemimpin-pemimpin kanan DAP, pemilik syarikat terowong juga mengaku kepentingan 10% projek telah ditawarkan kepada akauntan gagal,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.