Media adalah barisan hadapan buat KKM

117

9 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media yang telah bekerja keras bagi menyampaikan maklumat sahih dan tepat berhubung perkembangan terkini COVID-19 kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dalam hal ini, media sebenarnya barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat mengenai situasi sebenar penyakit itu di negara ini.

Menurut beliau, hasil penyampaian rakan-rakan media negara ini, Malaysia menjadi terkenal di seluruh dunia dalam mengawal pandemik COVID-19.

“Saya dan KKM ingin ucapkan setinggi tahniah atas usaha kuat, kesungguhan serta kesabaran rakan media dalam menjalankan tugas. Pihak media sangat penting buat kami.

“Anda berjuang menyampaikan berita, banyak dugaan anda kena lalui tapi berita yang sampai itu cepat dan tepat dan hari ini dunia telah memuji kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Ramah Mesra Media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Azmi yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai memberitahu pihaknya bersyukur kerana Malaysia sekali lagi mencatatkan sifar jangkitan tempatan Covid-19 hari ini.

“Ini usaha kita kalau kita usaha sebaik mungkin kita pasti akan dapat menangani COVID-19 di negara ini dan kita berharap kejayaan ini akan kekal,” katanya. -AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.