Mahkamah benarkan Najib & Rosmah periksa barangan disita

68

9 JULAI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memeriksa barangan yang disita polis di premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd yang didakwa ada kaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mulai 21 Julai.

Memetik laporan BERNAMA, tanpa menetapkan tarikh tertentu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memeriksa barangan itu selepas 21 Julai iaitu dua hari sebelum harijadi Najib.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin yang mengesahkan perkara itu berkata, kini terserah kepada peguam yang mewakili kedua-dua pihak, polis dan Bank Negara Malaysia untuk menetapkan tarikh bagi pasangan itu memeriksa barangan berharga berkenaan kecuali barang kemas.

“Pemeriksaan ke atas barang kemas itu akan dijalankan sebaik sahaja tukang emas warga Lubnan daripada Global Royalty Trading SA tiba. Tetapi, kami tidak dapat sahkan bila tukang emas itu akan datang sebab sempadan negara kita ditutup ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas prosiding hari ini.

Pada 11 Mac, Rosmah mendapat kebenaran untuk melakukan pemeriksaan fizikal ke atas aset itu yang disita polis didakwa ada kaitan dengan skandal dana 1MDB, bagaimanapun beliau masih belum memeriksa barangan itu disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 10 Jun, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk memeriksa barangan disita polis termasuk jam tangan, beg, dan cermin mata hitam selepas mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Faten Hadni.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak aset yang disita di premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd.

Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.

Sitaan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.