Kes COVID-19 lepasi 3 juta di Amerika

38

9 JULAI: Amerika Syarikat (AS) merekodkan kes positif COVID-19 lebih tiga juta semalam ketika pentadbiran Presiden Donald Trump merancang membuka semula sesi persekolahan di negara itu.

Negara kuasa besar itu menjadi negara paling teruk terjeas akibat pandemik yang mula dilaporkan di China.

Menerusi laporan berita tempatan, kes positif melonjak di beberapa lokasi di selatan AS termasuk Texas, Florida, Louisiana dan Arizona, manakala hampir reda di pusat wabak di New York dan timur laut.

Berdasarkan data dikeluarkan Johns Hopkins University, AS merekodkan 3,009,611 kes positif.

“Ketika ini kita sudah menjalankan ujian saringan ke atas 39 juta penduduk AS,” kata Naib Presiden AS, Mike Pence kepada pemberita.

“Daripada jumlah itu, lebih tiga juta disahkan positif dan lebih 1.3 juta sudah sembuh,” katanya.

Menjelang pertemuan dengan pasukan petugas COVID-19, Trump meminta pelajar kembali memulakan pengajian pada musim bunga selain mengkritik agensi kesihatan negara.

“Di Jerman, Denmark, Norway, Sweden dan banyak negara lain, sekolah dibuka tanpa masalah,” katanya.

Semua negara yang disebutkan oleh Trump mempunyai wabak penyakit yang jauh lebih rendah berbanding AS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.