JPKK, JPKKP ditubuh ganti MPKK & MPKKP

1,436

9 JULAI: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) kini dikenali sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, keputusan itu ekoran mesyuarat Kabinet semalam yang bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan bagi kedua-dua majlis berkenaan.

“JPKK akan dikuatkuasakan di 10 buah negeri yang ditadbir oleh kerajaan Persekutuan iaitu Johor, Melaka, Perak, Pahang, Kedah Perlis, Kelantan Terengganu, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Manakala JPKKP pula di empat negeri pembangkang iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah,” katanya seperti dipetik dari laporan MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing memberitahu, antara pembaharuan lain yang dilaksana kementeriannya adalah penambahbaikan prosedur pelantikan anggota iaitu dengan mewujudkan jawatankuasa peringkat daerah atau Parlimen yang akan melaksana tapisan pemilihan calon mengikut pembahagian komposisi parti komponen kerajaan persekutuan.

“Senarai calon anggota ini kemudiannya akan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa melantik iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi negeri-negeri JPKK dan Menteri Pembangunan Luar Bandar bagi negeri-negeri JPKKP.

“Bagaimanapun, semua lantikan itu hendaklah terlebih dahulu diperakukan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” jelasnya.

Jumlah JPKK dan JPKKP yang akan diwujudkan di seluruh negara adalah sebanyak 15,434 dan melibatkan keseluruhan anggota seramai 128,930 orang dengan kesemua pelantikan dijangka selesai pada Ogos nanti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.