Bekas calon PKR antara 6 dituduh culik mendiang Arumugam

235

9 JULAI: Bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Datuk K Ramachandran merupakan salah seorang daripada enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Memetik laporan BERNAMA, Ramachandran dituduh bersubahat dengan lima lelaki lain yang menculik ahli perniagaan, Datuk Seri R Arumugam, 55, yang mayatnya ditemukan di kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, Selangor, pada 27 Jun lalu.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 3 Akta Colek 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Ramachandran semasa menjadi calon PKR pada PRU-13.

Lima lelaki yang berdepan tuduhan menculik Arumugam yang juga seorang pemaju hartanah ialah Azhari Shahrom Shaihmi, 56; Mohd Durai Abdullah, 52; Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26; N. Vickneswarar, 28, dan seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42.

Kesemua mereka didakwa menculik mendiang dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah SGD50 juta (RM153 juta).

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Kejiranan Central Spine, Jalan Margosa, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada pukul 10.30 pagi, 10 Jun, mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sekiranya sabit kesalahan, lima lelaki terbabit boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dikenakan sebat.

Keenam-enam lelaki itu mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa, di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka, kerana kes melibatkan hukuman mati adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan pengakuan akan diambil, selepas kes dipindahkan ke mahkamah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abd Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan, kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Dalam prosiding itu, hanya Ramachandran diwakili peguam R. Sivaraj, manakala Datuk Geethan Ram Vincent hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes dan laporan DNA.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Bandar Sri Damansara, 10 Jun lalu dan mayatnya ditemukan di kawasan belukar pada 27 Jun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.