AS diminta kaji semula keputusan visa pelajar

67

9 JULAI: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin terhadap nasib dan kebajikan lebih 6,000 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di Amerika Syarikat berikutan pelaksanaan undang-undang baharu Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) di negara terbabit.

Berikutan itu, Kedutaan Besar Malaysia di Washington, kelmarin, mengeluarkan nasihat meminta supaya pelajar Malaysia berhubung terus dengan universiti masing-masing bagi mengetahui kepentingan status imigresen mereka menjelang bermulanya sesi pengajian semester musim luruh tahun 2020.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan itu perlu selepas AS mengumumkan pelaksanaan ICE untuk menamatkan pengecualian sementara bagi pelajar asing yang mengikuti kelas dalam talian untuk semester musim luruh (September) 2020.

Katanya, kerajaan Malaysia berharap agar pihak berkuasa Amerika Syarikat dapat menilai semula keperluan untuk menamatkan pengecualian visa sementara serta mencari jalan penyelesaian yang lebih praktikal bagi pelajar Malaysia untuk meneruskan pembelajaran atas talian dan kekal di Amerika Syarikat

“Memandangkan Amerika Syarikat penting sebagai destinasi pilihan bagi pendidikan, kerajaan Malaysia menggesa pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk menilai semula keputusan menamatkan pengecualian sementara ini.

“Kita juga berharap kerajaan Amerika Syarikat dapat mencari jalan penyelesaian terbaik yang tidak mendatangkan masalah kepada pelajar kita untuk meneruskan pengajian secara dalam talian dan terus kekal di sana,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, AS adalah negara ketiga yang mempunyai populasi terbesar pelajar Malaysia mengikuti pengajian di luar negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.